Pada 9 MAC 2011 yang lalu, pelajar-pelajar dari jurusan lakonan dan pengarahan Universiti Sains Malaysia yang mengikuti kursus VLP 117 – Drama & Teater Kanak-Kanak ada membuat lawatan ke Pusat Harapan Harian Bakti, Balik Pulau, Pulau Pinang. Pusat Harapan Harian Bakti merupakan sebuah Pusat Kanak-Kanak Istimewa. Lawatan ini telah diketuai oleh Dr. Aris bin Ahmad, pensyarah bagi subjek ini dan ditemani oleh 2 orang tutor iaitu En. Halimi bin Mohamed Noh dan En. Roslan Chin serta beberapa orang staf sokongan USM.
Tujuan lawatan ini diadakan adalah bagi membuat pemerhatian diagnostik mengenai tingkah laku kanak-kanak istimewa di pusat harian tersebut. Pemerhatian yang dilakukan ini seterusnya akan disusuli untuk mengkaji hubungan yang sesuai di antara kanak-kanak istimewa dengan jenis persembahan yang sesuai dipersembahkan kepada mereka. Bercakap mengenai teater kanak-kanak, wujud perbezaan yang amat jelas dari segi jenis persembahan yang ingin dipersembahkan kepada kanak-kanak tersebut mengikut jenis kumpulan dan kelompok. Sebagai contoh, persembahan yang ingin dipersembahkan kepada kanak-kanak normal tentu sahajalah berbeza dengan kanak-kanak istimewa. Antara faktor-faktor yang perlu diambil kira adalah seperti tahap kemampuan fizikal, tindakbalas motor otak, kemampuan menghadam apa yang dilihat, dan sebagainya.
Pusat Harian Harapan Bakti menempatkan kanak-kanak yang dikatogerikan sebagai terencat akal, syndrome down, hyper active, mempunyai kekurangan upaya fizikal, dan yang mempunyai masalah lembam dalam pembelajaran (slow learner). Umur kanak-kanak yang dihantar di sini adalah sekitar 7 hingga 18 tahun. Pelajar-pelajar di pusat harian ini adalah sekitar kurang daripada 30 orang pelajar yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan dibahagikan kepada 2 kumpulan iaitu kumpulan mampu berdikari dan kumpulan jagaan rapi. Pelajar yang ditempatkan dalam kumpulan mampu berdikari boleh menjaga dirinya sendiri dan mampu menguruskan diri terhadap perkara-perkara asas, seperti ke tandas, contohnya, manakala kumpulan jagaan rapi pula memerlukan guru-guru, pengasuh, dan pembimbing untuk melakukan kerja-kerja harian. Guru-guru di pusat ini adalah seramai 5 orang yang terdiri daripada para sukarelawan tetap (tabik hormat kepada mereka). Selain 2 kumpulan utama kanak-kanak ini, wujud lagi satu kumpulan bengkel iaitu pelajar-pelajar kurang upaya yang berumur 18 tahun ke atas yang melakukan kerja-kerja kraf tangan dan kerja-kerja tetap untuk menampung hidup (mereka memasang komponen-komponen kecil daripada kilang – komponen elektronik kalau tidak silap saya. Mereka mendapat upah daripada kerja itu – 30 sen sekilogram) Dapatlah saya rumus bahawa kitaran hidup kanak-kanak di pusat harian ini seperti begini :
- KELOMPOK JAGAAN RAPI
(sekitar umur 7 tahun hingga 12 tahun yang belum mampu berdikari)
- KELOMPOK BERDIKARI
(sekitar umur 12 tahun yang sudah boleh berdikari sehingga umur 18 tahun)
- KELOMPOK BENGKEL(18 tahun ke atas dan boleh dianggap sebagai pekerja kerana melakukan aktiviti sara diri)
saya dan Ijat menyoal siasat guru kelas tersebut
Objektif lawatan ini adalah untuk menilai tahap penerimaan mereka terhadap sesebuah persembahan (teater kanak-kanak). Semasa kami di sana, kami dihidangkan dengan 2 buah persembahan oleh kanak-kanak yang dikelompokkan dalam golongan yang memerlukan jagaan rapi. Persembahan tersebut adalah ‘tarian’ yang diiringi oleh 2 buah lagu (lagu pop lama sekitar tahun 80 an dan lagu irama etnik kreatif nyanyian Noraniza Idris kalau tak silap saya). Sebenarnya, tarian yang dipersembahkan mereka hanyalah beberapa gerakan ringkas (3 step). Namun, ia merupakan sebuah pencapaian yang besar bagi mereka kerana berjaya melakukan pergerakan yang diatur (disiplin).
Daripada persembahan sekitar 10 minit itu, dapatlah saya rumuskan bahawa mereka hanya boleh melakukan gerakan-gerakan asas yang mudah dan tidak terlalu kompleks dan daya ingatan mereka juga hanya dapat mengingati beberapa rangkaian gerakan sahaja (sebanyak lebih kurang 3 ke 4 step yang diulang-ulang untuk satu lagu). Melalui perbualan dengan segelintir daripada mereka pula, saya dapati bahawa mereka mudah memahami maksud yang disampaikan dalam perbualan namun ada juga diantara mereka yang gagal mencapai objektif itu. Ada juga yang mengalami masalah linguistik dan kesukaran untuk menyebut suku kata dengan betul dan sempurna. Saya berasa amat bersalah ketika berbual dengan seorang pelajar yang bernama Faiz ketika di pusat harian tersebut. Saya berasa bersalah kerana saya yang gagal mencapai maksud yang cuba diucapkan beliau dengan susah payah. Ini sedikit petikan perbualan saya dengan beliau :
Saya : Nama sapa?
Faiz : Paeh.
Saya : Ha? (kurang dengar)
Faiz : Paeh.
Saya : Apa dia? Paeh? Betul?
Faiz : Paaaeeehhhh…! (menyebut dengan susah payah)
Saya : … (terdiam dan berfikir sebentar)
Faiz kelihatan hampa kerana saya gagal memahami kata—katanya.
Saya : Faiz!?
Faiz : Ha! Betul! (tersenyum dan gembira)
MORAL : Kita harus lebih peka apabila berbual dengan golongan istimewa.
tari-menari tertari-tari
yang berbaju putih di belakang sekali tu Dr.Aris, pensyarah kami
Melalui perbualan saya dengan pengendali pusat harian ini, Puan R. Rajeswari; kanak-kanak di pusat itu harus dibimbing secara satu sama satu bagi melakukan aktiviti-aktiviti seperti itu. Namun sekiranya ada di antara mereka yang berkemampuan untuk melakukannya sendiri atau telah mahir, mereka pula yang akan membantu rakan-rakan mereka yang lain. Sesungguhnya, nilai kerjasama adalah nilai yang paling utama diterapkan di pusat ini.
Melalui pemerhatian saya juga, muzik, warna, gerakan ringkas, dan suku kata yang mudah dapat menarik minat kanak-kanak golongan sebegini untuk menyertai persembahan atau menonton persembahan. Dalam teater kanak-kanak, memanglah elemen warna dan muzik memainkan peranan penting. Oleh itu, teater kanak-kanak sememangnya boleh dipersembahkan kepada golongan kanak-kanak istimewa namun, bahasa atau suku kata yang digunakan dalam persembahan itu haruslah lebih ringkas dan mudah difahami berbanding persembahan untuk kanak-kanak normal. Ini adalah kerana mereka lebih tertarik dan faham dengan bahasa tubuh kerana majoriti daripada mereka gagal memahami bahasa literal dengan sempurna akibat ketidakupayaan diri. Kostum yang digunakan juga harus lebih berwarna-warni dan ceria selain muzik yang catchy.
Tempoh lebih kurang 2 jam bersama mereka di pusat harian itu membuka minda dan mata saya untuk lebih memahami cara kanak-kanak istimewa berfikir dan bertingkah laku. Jika sebelum ini, saya memang mudah bersimpati jika melihat nasib kanak-kanak istimewa yang dipaparkan di kaca televisyen, namun saya tidak pernah menyelami hati mereka dan tahu apa yang mereka rasa. Namun, dalam tempoh yang sesingkat itu, perasaan simpati saya bertukar menjadi empati. Saya umpama boleh merasai bagaimana mereka melihat dunia dari kaca mata mereka.
bersedia sebelum membuat persembahan
yang baju merah tu hyperactive - suka menari, joget kat kelas tak tentu pasal
mereka ni semua di kelas Kelompok Jagaan Rapi
~aku terlihat seorang anak istimewa tatkala aku sampai di situ,
matanya memandang tajam ke arah aku – atas bawah, penuh tanda tanya dan keterujaan
entah apa yang difikirkannya…
mungkin dia berangan nak jadi macam aku? - sempurna fizikal, bergaya berfesyen, mampu bergerak bebas sendiri…tetapi tidak dia.
ATAU
dia sedang melaknat aku?~~~cemburu aku kelihatan lebih baik daripada dia dari sudut fizikalnya?
menganggap aku mengejek-ngejek dia kerana aku boleh melompat, berdiri dengan satu kaki, dan berlari … tetapi tidak dia?
AKU TAK RASA BEGITU!
~~~dalam hati dari wajah yang suci itu, mustahil ada hasad dengki mencemburui orang lain yang lebih sempurna…
~~~mungkin apa yang terlakar dalam hati wajah anak yang polos itu hanyalah hak untuk difahami, disayangi, dan dihargai oleh insan-insan seperti aku - yang kononnya sempurna tetapi banyak kekurangan.
sesungguhnya…mereka itulah yang lebih sempurna hidupnya~~~
~~~FAHAMI, HARGAI, DAN SAYANGI INSAN-INSAN ISTIMEWA SELURUH DUNIA~~~
sebarkan rasa cinta sesama insan
*sesiapa yang berminat nak melawat tempat tu, atau ingin memberi apa-apa sumbangan; ni alamat dia :
Jalan Sungai Nipah, Balik Pulau
11000 Penang, Malaysia.
Tel : 604-8669 506 Fax : 604-8863 506
Email : bakti@phhb.org.my
jadual waktu belajar di Pusat Harian Harapan Bakti